Menurut definisi Bahasa Arab, kalimah tauhid ialah berasal dari kata kerja wahada (وَحَدَ) Atau masdar dari kalimah وَحَّدَ - يُوّحِّدُ - تَوْحِيْدًا yang membawa maksud: "Mengesakan" atau "Menunggalkan/Menjadikannya satu". Antara pengertian tauhid ialah: "Menafikan yang berbilang-bilang". Misalnya: (وَاحِدُ زَمَانِهِ) "Orang yang tiada duanya di zamannya, baik di bidang ilmu pengetahuan, kebijaksanaan atau kedermawanan dan lainnya". Tauhid menurut pengertian bahasa ialah (اَلاِفْرَاد) "Yang Tunggal".
Tauhid menurut ta'rif syara pula ialah:
"Mengesakan Allah Ta'ala pada Rububiyah, Ilahiyah (sembahan) dan pada kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifatNya". Atau:
"Ilmu yang dengannya kita boleh memantapkan akidah-akidah agama dengan dalil-dalilnya yang bersifat mutlak".
Ditakrifkan juga dengan:
"Menafikan adanya sekufu (setara), setaraf dan semisal pada zat Allah, sifatNya dan perbuatanNya. Menafikan adanya sekutu pada penciptaanNya begitu juga dalam mengibadahiNya".
Namun, perlu diketahui bahawa ada perbezaan antara akidah dengan tauhid. Akidah lebih luas dari tauhid. Tauhid menetapkan kebenaran dengan dalilnya sahaja, sedangkan akidah disamping menetapkan kebenaran juga menolak syubahat, menjelaskan perkara-perkara yang merosak kesahihan suatu dalil yang berbentuk khilafiyah dan membahas agama secara terperinci. Begitu juga beriman kepada kitab, para rasul, para malaikat, Hari Kiamat dan takdir termasuk dalam persoalan akidah.
Tauhid juga lawannya syirik dan sesungguhnya tauhid yang sempurna ialah setelah berilmu dan memahami persoalannya sehingga menyedari dan mengiktiraf keEsaan Rabb (Tuhan), mengakui kesempurnaan sifatnya dan berikrar bahawa Allah itu Tunggal, memiliki sifat-sifat Yang Agung dan Maha Besar sehingga hanya Dia sahaja yang disembah (diibadahi).
Faedah mengenal dan memahami tauhid ialah ianya dapat menyelamatkan akidah dan amal ibadah seseorang hamba dari dicemari oleh apapun jenis kesyirikan. Syirik termasuk dosa yang paling besar yang tidak terampun jika pelakunya tidak bertaubat sebelum ia mati. Di akhirat kelak tergolong dalam kalangan orang-orang yang paling rugi kerana akan dikekalkan di dalam neraka.
Tauhid merupakan hidayah (petunjuk) untuk seseorang semasa di dunia dan natijahnya dapat menghapuskan dosa-dosa yang menjadi penyebab seseorang itu ke neraka sebagaimana firman Allah:
اَلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا وَلَمْ يَلْبِسُوْا اِيْمَانَهُمْ بِظُلْمٍ اُوْلَئِكَ لَهُمُ اْلاَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُوْنَ.
"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik) mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk".
Al-An'am, 6:82.
وَقَالَ رَسُـوْلُ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَـيْـهِ وَسَـلَّمَ : حَـقُّ الْعِبَادِ عَلَى اللهِ اَنْ لاَ يُعَذِّبَ مَنْ لاَ يُشْرَكَ بِهِ شَيْئًا.
"Hak seorang hamba dari Allah ialah tidak akan diazab sesiapa yang tidak melakukan kesyirikan terhadapNya dengan sesuatu".
Telah diketahui oleh setiap orang-orang yang beriman dan berilmu, bahawa isi kandungan al-Quran keseluruhannya adalah hidayah yang mengarah kepada tauhid dan pemahamannya dalam ibadah atau penyembahan, iaitu hanya menyembah dan beribadah dengan penuh ketaatan dan keikhlasan kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala semata tanpa disekutukan dengan makhlukNya. Sebagaimana Allah berfirman:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ . مَا اُرِيْدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا اُرِيْدُ اَنْ يُطْعِمُوْنَ . اِنَّ اللهَ هُوَ الرَزَّاقُ ذُوْ الْقُوَّةِ الْمَتِيْن.
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan Sangat Kukuh".
Az-Zariyat, 51:56.
Erti dari kalimah (يَعْبُدُوْنِ) "Mereka menyembah" pada ayat di atas ia memberi maksud (يُوَحِّدُوْنِ) iaitu:
"Mereka (hendaklah) mengesakan (tidak menyekutukan) penyembahan dan apa sahaja jenis ibadah maka ia hanya untuk Allah".
Adapun antara pengertian ibadah ialah:
"Nama bagi keseluruhan apa sahaja yang dicintai dan diredhai oleh Allah, sama ada berbentuk perkataan (percakapan) atau amal yang zahir atau batin".
Ayat di atas ini menjelaskan bahawa hikmah atau tujuan diciptakan jin dan manusia adalah semata-semata supaya menyembah Allah Yang Esa dan mengkufuri semua ketuhanan selain Dia. Wajib bagi mereka meyakini bahawa Allah pemberi rezeki yang sebenarnya yang tidak pernah meminta balasan di atas segala pemberianNya, apa yang diserukan olehNya melalui RasulNya ialah agar taat, menyembah, mentauhidkanNya dan sekali-kali tidak melakukan kesyirikan terhadapNya sama ada syirik besar atau kecil.
Dilarang juga dari mensetarakan, mensekufukan, memisalkan dan menyamakan Dia dengan makhlukNya sama ada zat atau sifat-sifatNya. Antara dalil dari al-Quran yang menjelaskan bahawa tiada sesuatu yang setanding, setara atau sekufu dengan Allah ialah firmanNya:
قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ . اَللهُ الصَّمَدُ . لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ . وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَدٌ .
"Katakanlah! Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seseorang yang setara (sekufu/setanding) dengan Dia".
Al-Ikhlas, 112:1-4.
Sekalian manusia diseru agar tidak menyekutukan Allah dengan makhlukNya. Ada banyak dalil yang menafikan bolehnya menyekutukan Allah dalam menyeru dan mengibadahiNya, antaranya ialah firman Allah:
قُلْ اِنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
لاَشَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ اُمِرْتُ وَاَنَا اَوَّلُ الْمُسْلِمِيْنَ.
"Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta Alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)".
Al-An'am, 6:162-163.
Segala jenis ibadah jika dikerjakan dengan penuh keikhlasan hanya semata-mata kerana Allah, maka itulah yang dinamakan tauhid, sebaliknya jika untuk selainNya maka itulah pula yang dinamakan syirik besar yang boleh menyebabkan pembuatnya dikekalkan di dalam neraka.
Begitulah juga jika sesuatu ibadah disekutukan kepada makhluk, iaitu dengan mengalihkan niatnya kepada yang selain Allah 'Azza wa-Jalla, tidak kira sama ada yang menjadi sekutunya itu malaikat, nabi, wali, kuburan orang soleh, keramat, jin, pohon, batu atau selainnya maka berpunca dari penyekutuan niat tersebut ia telah melakukan perbuatan syirik yang besar. Firman Allah:
وَمَنْ اَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُوْا مِنْ دُوْنِ اللهِ مَنْ لاَّ يَسْتَجِيْبُ لَهُ اِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَآئِهِمْ غَافِلُوْنَ.
"Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa)nya sampai Hari Kiamat dan mereka lalai dari memperhatikan doa mereka".
Al-Ahqaaf, 46:5.
Maksud sembah yang terdapat di dalam ayat ini ialah hanya dengan cara memohon/menyeru/berdoa (يَدْعُ) selain Allah. Si penyeru pula lalai kerana kejahilannya sehingga tidak menyedari bahawa makhluk yang diseru itu tidak mampu memperkenankan seruan atau permintaannya, akhirnya ia lebih sesat dari penyembah berhala kerana selain menyeru Allah dia telah mempersekutukan seruannya dengan makhlukNya. Di ayat yang lain Allah berfirman:
وَمَنْ يَدْعُ مَعَ اللهِ اِلَهًا ءَاخَرَ لاَ بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَاِنَّمَا حِسَـابُهُ عِنْدَ رَبِّهِ اِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الْكَافِرُوْنَ.
"Dan barangsiapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalilpun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung".
Al-Mukminun, 23:117
Antara pengertian kalimah (يَدْعُ) dalam ayat ini ialah "Mereka yang sedang menyembah". Ini bermakna "doa/seruan" yang secara istilah bererti "ibadah", maka jika ianya dilakukan kepada selain Allah jelaslah perbuatan tersebut diharamkan, kerana ia membawa kepada kesesatan, kekufuran dan kesyirikan yang nyata kerana menyembah selain Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Allah berfirman:
وَلاَ تَدْعُ مَعَ اللهِ اِلَهًا ءَاخَرَ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ.
"Janganlah kamu seru (sembah) disamping (menyembah) Allah, tuhan apapun yang lain. Tidak ada Tuhan (yang berhak diibadahi) melainkan Dia".
Al-Qashash, 28:88.


Catat Ulasan