• Home
  • Posts RSS
  • Comments RSS
Blue Orange Green Pink Purple

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

أهلا وسهلا ومرحبابا بكم
SELAMAT DATANG KAMI UCAPKAN KEPADA SEMUA PELAYAR BLOG INI


Assunnahblog

"Apabila kamu bercanggah pendapat dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan rasulnya (Al-Quran dan hadis)"

Carian

Tauhid Asma dan sifat

Ketiga: Tauhid Asma, Sifat & Zat

Adalah wajib beriman kepada asma (nama-nama) dan sifat-sifat Allah. Iaitu dengan menetapkan asma dan sifat-sifat tersebut sebagaimana yang telah ditetapkan Allah untuk zatNya yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang layak bagiNya. Firman Allah:

وَِللهِ اْلاَسْمَآءُ الْحُسْنَى فَادْعُوْهُ بِهَا وَذَرُوْا الَّذِيْنَ يُلْحِدُوْنَ فِى اَسْمَآئِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ.

"Hanya milik Allah asma ul-husna, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asma ul- husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan".
Al-A'raf, 7:180.

Maksud tauhid al-asma' (الاسماء) "Nama-nama" dan as-sifat (الصفات) "Sifat-sifat" ialah beriman dengan keimanan dan pengakuan yang tegas, sempurna dan teguh kepada semua nama-nama Allah dan sifat-sifatNya yang terdapat di dalam al-Kitab dan as-Sunnah. Seseorang itu sama sekali tidak boleh menamakan Tuhan kita (Allah) kecuali dengan nama yang Dia sendiri telah menamakan atau yang telah dinamakan oleh RasulNya sallallahu 'alaihi wa-sallam. Tauhid as-sifat (sifat-sifat) ialah tidak mensifatkan Allah kecuali dengan sifat yang telah disifatkanNya sendiri atau telah disifatkan oleh RasulNya sallallahu 'alaihi wa-sallam.

Begitu juga adalah wajib bagi setiap mukmin mengimani wujudnya zat Allah sebagaimana mengimani nama-nama dan sifat-sifatNya Yang Maha Agung dan sempurna. Sememangnya semua sifat-sifat Allah itu terbaik dan amat sempurna.

Mengimani nama, sifat dan zat Allah pula hanyalah mengikut sebagaimana yang telah ditetapkan sendiri oleh Allah di dalam kitabNya. Nama-nama dan sifat-sifat tersebut tidak boleh ditakyif (تَكْيِيْف) "Dipersoalkan atau menanyakan bagaimana", tidak boleh ditamsil (تَمْثِيْلٌ) "Dimisalkan, diserupakan atau dicontohkan", tidak boleh ditahrif (تَحْرِيْفٌ) "Diubah atau ditukar maknanya", dan tidak boleh dita'til (تَعْطِيْلٌ) "Dibatalkan atau ditiadakan makna atau maksudnya yang sebenar". Atau dengan kata lain, wajib mengakui dan menetapkan semua nama, sifat dan zat Allah Subhanahu wa-Ta'ala yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah tanpa sedikit pun penafian, penyimpangan, penyerupaan dan penentuan bentuk atau hakikatnya.

Semua penjelasan ini berdasarkan kepada dalil yang mengharamkan takyif, tamsil, tahrif atau ta'til iaitu firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ.

"Tidak ada sesuatupun (makhluk) yang serupa (setara/setanding/sekufu) dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat".
As-Syura, 42:11.

Ayat ini mengandungi dua penegasan iaitu:

Pertama: Membatalkan akidah kelompok yang menyerupakan sesuatu (makhluk) dengan Allah Subhanahu wa-Ta'ala.

Kedua: Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat, ini merupakan pembatalan atas kelompok yang menafikan nama-nama dan sifat-sifat Allah serta yang menyelewengkannya.

Sesungguhnya kita wajib menthabitkan (menetapkan) bagi Allah setiap nama dan sifat yang telah tertera di dalam al-Kitab (al-Quran) dan telah diperjelas di dalam as-Sunnah sebagaimana yang layak dengan kebesaran Tuhan kita. Seterusnya menafikan secara global semua nama dan sifat yang dinafikan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala bagi diriNya sendiri dan yang dinafikan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam.

Sesungguhnya beriman dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya adalah satu dari beberapa rukun iman terhadap Allah, iaitu beriman dengan kewujudan Allah Ta'ala, sama ada rububiyahNya, uluhiyahNya dan seterusnya dengan zat, nama-nama dan sifat-sifatNya.

Kita wajib beriman bahawa Allah Maha Mendengar, Maha Melihat, Dia berkata-kata pada bila-bila masa yang Dia kehendaki, dengan siapa dan apa yang Dia kehendaki. Dia bersemayam di atas 'ArasyNya dengan persemayaman yang layak bagiNya sebagaimana firmanNya:

اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

"(Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas 'Arasy".
Taha, 20:5.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah pula memberi takrif Asma ul-Husna ialah:

"Asma ul-Husna mafhumnya ialah Asma (nama-nama) yang dengannya (menggunakan nama tersebut) Allah diseru. Iaitu nama-nama yang telah disebut di dalam al-Kitab dan as-Sunnah dan nama-nama tersebut menunjukkan pujian (الحسنى)".

Menurut penjelasan para ulama akidah dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj salaf, bahawa tiap-tiap nama Allah (Asma' ul-Husna) semuanya menunjukkan (mengandungi) sifat-sifat Allah yang sempurna yang hanya dimiliki oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Tauhid (asma dan as-sifat) dalam penilaian agama adalah yang tertinggi dan terpenting. Tidak mungkin seseorang dapat menyeru dan beribadah kepada Allah dengan sempurna sehinggalah dia mengetahui (mengenali dan berilmu tentang) nama-nama Allah dan sifat-sifatNya supaya mengibadahiNya (atau memohon dan menyeruNya, pent.) dengan basirah (بَصِيرَةٌ) "dengan berpandukan kepada hujjah". Allah berfirman:

وَلِلَّهِ اْلاَسْمَآءُ الْحُسْنَى فَادْعُوْهُ بِهَا.

"Hanya milik Allah Asma-ul Husna maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut Asma-ul Husna".
Al-A'raf, 7:180.

Di ayat ini dijelaskan dua bentuk permohonan atau seruan, iaitu:

(1) Permohonan atau seruan untuk mengatasi apapun masalah (دعاء المسالة) yang dipohonkan melalui nama-nama Allah yang husna yang sesuai dengan apa yang menjadi masalah, seperti bermohon: "Ya Gahafur (Pengampun) ampunkanlah dosa-dosaku, Wahai Yang Penyayang! Sayangilah aku, Wahai yang Memelihara! Maka peliharalah aku dan sebagainya".

(2) Permohonan atau seruan (berdoa) yang berbentuk ibadah (دعاء العبادة) iaitu mengibadahi Allah dengan penyempurnaan nama-namanya, seperti memulakan bertaubat kepadaNya kerana meyakini hanya Dialah Penerima taubat, berzikir dengan lisan kerana dia Maha mendengar, beribadah dengan seluruh tubuh badan (بالجوارح) kerana Dia melihat (ibadah seseorang) dan takut kepadaNya dengan berterang-terangan dan bersembunyi kerana Dia Latif al-Khabir.

Kita tidak boleh menyembah zat yang tidak kita kenal dan ketahui (majhul), tetapi kita telah diwajibkan agar menyembah hanya kepada Allah yang kita kenal dan ketahui melalui asma (nama-namanya) yang baik dan sifat-sifatNya yang sempurna yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tauhid jenis ini telah dikhabarkan dan dijelaskan oleh Allah 'Azza wa-Jalla melalui wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad salallahu alaihi wa-sallam. Tauhid inilah yang diistilahkan sebagai tauhid az-zat, asma' dan as-sifat oleh ulama tauhid.



Dalil-Dalil Tentang Sifat (Mutasyabihah & Muhkamah)

Adapun ayat-ayat al-Quran yang memperkatakan tentang kaifiyahnya (bagaimananya) sifat-sifat Allah Subahanahu wa-Ta'ala, maka ia termasuk ayat-ayat yang mutasyabihat. Adalah mustahil seseorang itu boleh mengetahui kaifiyah (bagaimananya) sifat-sifat Allah kerana perbincangan tentang sifat-sifat Allah termasuk dalam urusan ghaibiyah dan cabang dari memperkatakan tentang zat Allah, tidak seorang pun yang mengetahui hakikat sifat-sifat Allah kecuali Dia. Adapun ayat-ayat yang bersangkutan dengan makna atau maksudnya ia termasuk dalam ayat yang muhkamah.

Oleh sebab itu ayat-ayat yang memperkatakan tentang sifat-sifat Allah diperlakukan sebagaimana halnya. Dalam masalah ini terkandung makna yang jelas (zahir) iaitu makna yang sememangnya telah dikenal dan dimafhumi maksudnya dalam ungkapan Bahasa Arab, ia tidak boleh dita'til (تعطيل) "Ditolak atau dibatalkan" kerana ta'til samalah seperti menolak sifat-sifat tersebut. Antara contoh ayat yang dianggap mutasyabihat ialah firman Allah:

اَللهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ.
"Allah mengejek mereka".
Al-Baqarah, 2:15.
سَخِرَ اللهُ مِنْهُمْ.
"Allah mengejek mereka".
At-Taubah, 9:79.

Para ulama Salaf as-Soleh tidak menta'wil, menta'til atau memperbincangkan panjang lebar ayat-ayat seperti ayat di atas yang memperkatakan tentang sifat Allah. Mereka tidak bertanyakan bagaimana "Allah mengejek" dan mereka tidak pula menyerupakanNya dengan cara makhlukNya mengejek.

Begitu juga, mereka tidaklah pula menggunakan hawa nafsu, perasaan atau pemahaman akal fikirannya sendiri tentang ayat-ayat serupa itu, hanya mereka menerima sebagaimana yang dimaksudkan oleh al-Quran dan mereka juga sepakat mengatakan:

اَمِرُوْهَا كَمَا جَائَتْ.

"Mereka (para ulama Salaf as-Soleh) menerimanya (menjalankannya) sebagaimana yang didatangkan".

Kalangan ulama Salaf as-Soleh menerima ayat-ayat mutasyabihah sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat tersebut. Mereka menggunakan atau mengambil pemahaman yang benar dan selamat tanpa ditasybih (تَشْبِيْهٌ) "Penyerupaan atau Diserupakan", tidak ditakyif (تَكْيِيْفٌ) "Bertanya bagaimana atau Kenapa", melarikan dari mereka dari menta'wil (تَاْوِيْلٌ) "Menokok-nambah, Mengolah atau Membincangkannya" dan ayat-ayat seumpama itu tidak dita'til (تَعْطِيْلٌ) "Dibatalkan atau Ditolak". Mereka berpegang teguh dengan firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ.

"Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Dia dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha melihat".
As-Syura, 42:15.

Ayat di atas ini di samping menyatakan tidak serupanya sifat dan zat Allah dengan sifat dan zat makhlukNya, ia juga merupakan tanzih (pensucian dan pengukuhan mengenai diriNya yang sesuai dengan keAgunganNya), kerana di ayat mulia ini dinyatakan juga tentang sifat Allah yang "Maha Mendengar" dan "Maha Melihat". Amat jelas di ayat ini tidak ditanyakan bagaimana sifat Allah yang "Maha Mendengar" dan "Maha Melihat" di samping tidak disetarakan, disekufukan, disetandingkan atau disamakan sifat Allah tersebut dengan sifat makhlukNya.

Para ulama Salaf as-Soleh menolak penta'wilan golongan Muktazilah yang menta'wilkan sifat Allah "Maha Mendengar" dan 'Maha Melihat" kepada makna "Ilmu", kerana ta'wil seperti ini telah menolak dan membatalkan makna dan maksud yang hak (makna dan maksud yang sebenar), perbuatan seperti ini adalah fasad.

Golongan Muktazilah sering menta'wil ayat-ayat syara dengan menggunakan akal fikiran atau hawa nafsu mereka. Sedangkan dalam pandangan Islam akal tetap dimuliakan tetapi diletakkan pada tempatnya yang sesuai dan layak, tidak meninggikan dan mensucikannya sehingga menjadi sesuatu yang dipertuhankan (disembah), tidak juga direndahkan, dihina dan diremehkan sehingga penyandangnya tak ubah seperti binatang. Yang jelas akal manusia tidak maksum, ia serba kekurangan dan terbatas kemampuannya, oleh kerana itu akal tidak boleh mencabuli nas, malah pada hakikatnya akal sentiasa memerlukan bantuan nas yang didatangkan oleh penciptanya.

Sememangnya al-Quran adalah nas dan wahyu yang datangnya dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala, dan akal juga dari Allah, akan tetapi akal wajib tunduk kepada al-Quran sebagai nas, kerana akal itu makhluk yang terhad daya kemampuannya, sedangkan al-Quran pula adalah mukjizat atau Kalam Allah yang sama sekali tidak boleh disamakan dengan kekerdilan akal manusia.

Nas-Nas Asma ul-Husna Dan Sifat-Sifat Allah

Mengingkari Asma ul-Husna dan sifat-sifat Allah yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah sallahu 'alaihi wa-sallam yang sahih, merupakan bahagian dari perkara yang membatalkan iman. Misalnya, meniadakan sifat Allah yang sempurna seperti hidup, mendengar, melihat dan lain-lainnya. Atau menafikan kuasaNya seperti kuasa memberi rahmat, mematikan, menghidupkan dan sifat-sifat keAgunganNya yang tidak serupa dengan sifat makhlukNya.

Antara ayat-ayat al-Quran yang menyebut Asma ul-Husna (nama-nama yang baik) dan sifat-sifat Allah (الاسماء والصفات) ialah firman Allah:

وَاللهُ غَنِيٌّ حَلِيْمٌ.
"Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun".
Al-Baqarah, 2:263.

اِنَّ رَبِّيْ عَلَى كُلِّ شَيْىءٍ حَفِيْظٌ.
"Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu".
Hud, 11:57.
اِنَّهُ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.
"Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Terpuji lagi Maha Pemurah".
Hud, 11:73.

اِنَّهُ بِهِمْ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ.
"Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Pengasih lagi Maha penyayang kepada mereka".
At-Taubah, 9:117.

انَّهُ كَانَ عَلِيْمًا قَدِيْرًا.
"Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa".
Fathir, 35:44.

اِنَّ اللهَ كَانَ لَطِيْفًا خَبِيْرًا.
"Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui".
Al-Ahzab, 33:34.

اِنَّ اللهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيْبًا.
"Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu".
An-Nisa’, 4:1.
وَكَفَى بِاللهِ وَكِيْلاً.
"Dan cukuplah Allah menjadi Pelindung".
An-Nisa’, 4:81.

اِنَّ اللهَ كَانَ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا.
"Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
An-Nisa’, 4:23.

اِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيْرًا.
"Sesungguhnya Allah Maha Tinggi dan Maha Besar".
An-Nisa', 4:34.

وَكَفَى بِاللهِ شَهِيْدًا.
"Cukuplah Allah yang Mengakuinya".
An-Nisa’, 4:166.

وَكَفَى بِاللهِ حَسِيْبًا.
"Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat perhitungan".
Al-Ahzab, 33:39.

اِنَّ رَبِّيْ قَرِيْبٌ مُّجِيْبٌ.
"Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmatNya) lagi memperkenankan (doa hambaNya)".
Hud, 11:61.

اَللهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُّقِيْتًا.
"Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu".
An-Nisa', 4:85.

اَللهُ لآاِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ لاَ تَاْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ.

"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah/diibadahi) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya)".
Al-Baqarah, 2:255.

هُوَ اْلاَوَّلُ وَاْلاَخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ.
"Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu".
Al-Hadid, 57:5.

هُوَ اللهُ الَّذِيْ لآاِلَهَ اِلاَّ هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ . هُوَ اللهُ الَّذِيْ لآاِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلاَمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللهِ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ . هُوَ اللهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُلَهُ اْلاَسْمَآءُ الْحُسْنَى.
"Dialah Allah Yang tidak ada tuhan (yang berhak disembah/diibadahi) selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Allah yang tiada Tuhan (yang berhak disembah/diibadahi) selain Dia. Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala KeAgungan. Dialah Allah Yang Mencipta, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-Nama Yang Paling Baik".
Al-Hasyr, 59:22-24.
Dengan keterangan dari dalil-dalil di atas, amat jelas bahawa sesiapa yang mengingkari sifat-sifat Allah dan Asma ul-Husna, maka dia adalah seorang yang kufur terhadap al-Quran dan dianggap orang yang terkeluar dari millah Islamiyah.


Syirik Terhadap Zat, Sifat-Sifat & Asma ul-Husna

Sesiapa yang berbuat syirik terhadap zat dan sifat-sifat Allah, ianya akan mengakibatkan berlakunya kesyirikan dalam akidah dan ibadah. Misalnya, sebagaimana perbuatan mereka yang meminta pertolongan (menyeru/berdoa) kepada selain dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala, selain nama-namaNya atau sifat-sifatNya, sebagai contoh: Meminta, menyeru atau berdoa kepada orang yang telah mati, maka perbuatan ini nyata suatu kesyirikan terhadap Allah, kerana menurut sabda Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam: "Doa itu adalah ibadah".

Sebagaimana yang telah diketahui bahawa ibadah itu hanya untuk Allah subhanahu wa-Ta'ala sahaja. Syara telah mengharamkan beribadah kepada selainNya, kerana sekalian makhluk terutama jin dan manusia dijadikan semata-mata untuk beribadah hanya kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala dan tidak boleh menyembah yang lain. Firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu".
Adz-Dzariyat, 51:56.
وَمَا اَرْسَـلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُـوْلٍ اِلاَّ نُوْحِى اِلَيْهِ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ انَا فَاعْبُدُوْنِ.

"Tiada Kami utus seorang pun Rasul sebelum engkau (Ya Muhammad!) melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan, kecuali Aku, maka oleh sebab itu sembahlah Aku".
Al-Ambiya', 21:25.

Orang-orang yang berdoa, memohon atau menyeru malaikat, jin, roh-roh ghaib atau roh orang-orang yang dianggap suci yang telah mati seperti roh para nabi, rasul, wali atau orang-orang yang dianggap soleh, maka perbuatan seperti itu telah membawanya kepada kesyirikan. Walaupun pada lahirnya tidak kelihatan sesuatu yang batil tetapi hakikatnya pada iktikad (kepercayaan) si penyeru ada keyakinan yang tidak disedarinya, iaitu mensetarakan zat atau sifat Allah dengan sifat makhluk yang dipohoni doa atau yang diseru.
Read More 0 ulasan | Dicatat oleh sunnah.blog | edit post

0 ulasan



Catat Ulasan

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

Labels

  • Bahasa jawa (6)
  • Mingguan (1)
  • Panduan (1)
  • Tauhid (8)

Jumlah Paparan Halaman

Assunnah Blog

  • Info
      Muqarrabin Management System.
  • Blog Archive

    • ► 2012 (2)
      • ► Februari (1)
      • ► Januari (1)
    • ► 2011 (1)
      • ► Oktober (1)
    • ► 2010 (2)
      • ► Oktober (2)
    • ▼ 2009 (20)
      • ▼ Disember (15)
        • Tauhid Asma dan sifat
        • Tauhid Uluhiyah
        • Tauhid Rububiyah
        • Perkara yang merosakkan Iman
        • Apa itu Tauhid
        • Apa itu ibadat
        • Iman yg sempurna
        • Siapa salaf soleh
        • Siapa wahabi dan akidahnya
        • Salah faham tentang wahabi
        • Pencetus pertama istilah wahabi
        • PANDANGAN RASMI JAKIM TENTANG ISU WAHHABIYYAH
        • Apa itu Ahil Sunnah dan Jamaah
        • Apa itu islam
        • Sangkaan buruk
      • ► Mei (5)

    Blog Archive

    Langgan

    Catatan
    Atom
    Catatan
    Ulasan
    Atom
    Ulasan

    Pengikut

    Mengenai Saya

    Foto saya
    sunnah.blog
    Mohd Sani bin Abdullah bin Osman bin Abdullah bin Ahmad
    Lihat profil lengkap saya

    AUDIO

    http://audio.islamweb.net/audio/index.php
  • Search






    • Home
    • Posts RSS
    • Comments RSS
    • Edit

    © Copyright Assunnah. All rights reserved.
    Designed by FTL Wordpress Themes | Bloggerized by FalconHive.com
    brought to you by Smashing Magazine

    Back to Top