• Home
  • Posts RSS
  • Comments RSS
Blue Orange Green Pink Purple

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

أهلا وسهلا ومرحبابا بكم
SELAMAT DATANG KAMI UCAPKAN KEPADA SEMUA PELAYAR BLOG INI


Assunnahblog

"Apabila kamu bercanggah pendapat dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan rasulnya (Al-Quran dan hadis)"

Carian

Tauhid Rububiyah

Pertama: Tauhid Rububiyah

Rububiyah merupakan kata yang dinisbatkan kepada salah satu nama Allah Subhanahu wa-Ta'ala iaitu "Rabb" (رَبٌّ). Rububiyah (اَلرُّبُوْبِيَّةُ) juga diambil dari kata dasar ar-rabb (اَلرَّبُ) yang mempunyai beberapa makna antaranya: (اَلسَّيِّدُ) "Tuan", (اَلمْاَلِكُ) "Raja", (اَلْمُرَبِّى) "Pemelihara" (ألنَّصْرُ) "Penolong" (الولي) "Wali" dan (اَلْمُصْلِحُ) "Pembaharu atau yang memperbaiki".

Tauhid Rububiyah bermakna beriman terhadap kerububiyahan Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Maksud sebenar tauhid rububiyah ialah berikrar dengan sepenuh keyakinan berserta keimanan yang teguh, kukuh, mantap, beristiqamah tanpa berbelah bagi, tidak merasa waswas dan tidak ragu bahawa hanya Allah sahaja satu-satuNya Rabb (Tuhan) Yang Maha Tunggal, Pencipta segala yang wujud, Pemberi rezeki yang rezekiNya meliputi semua hambaNya, yang Menghidup dan Mematikan, Memberi mudarat dan manfa'at serta Memberi dan Mencabut pemberianNya. Hanya Dia Yang berwenang memperlakukan alam semesta ini sesuai dengan kehendakNya berdasarkan kesempurnaan ilmu serta kuasaNya yang mutlak dan segala-galanya adalah di tanganNya.

Sesiapa yang percaya ada tuhan selain Allah mencipta sekalian apa yang ada, maka dia adalah seorang yang kufur dan murtad kerana secara ringkas dalam terminologi syariat Islam, istilah Tauhid Rububiyah bererti juga:

"Meyakini bahawa hanya Allah sahaja satu-satunya Pencipta, Pemilik, Pengendali alam raya yang dengan takdirNya Ia menghidupkan dan mematikan serta mengendalikan alam dengan sunnah-sunnahNya"

Ungkapan di atas yang menyentuh tentang rububiyah telah diperjelas oleh Muhammad bin Abdul Wahab bin Ali al-Yamani:

"Tauhid rububiyah ialah mentauhidkan Allah dalam segala perbuatannya, yang bermakna bahawa hanya Allah sahaja yang mencipta, mengurus dan mewujudkan segala kejadian ini dari tiada kepada ada tanpa ada sekutu dan penolong dalam segala penciptaanNya".

Tauhid Rububiyah mencakupi dimensi-dimensi keimanan dalam mengimani:

Pertama: Beriman kepada segala perbuatan Allah yang bersifat umum. Misalnya Mencipta, Memberi rezeki, Menghidupkan, Mematikan, Menguasai dan sebagainya.

Kedua: Beriman kepada qada' dan qadar Allah.

Ketiga: Beriman kepada Zat Allah Subhanahu wa-Ta'ala.

Dalil-dalil yang menjadi landasan dan menunjukkan bahawa hanya Allah Subhanhu wa-Ta'ala sahaja satu-satunya Rabb sekalian alam dan (Tuhan) sebenar pencipta segala yang ada ialah melalui firmanNya:

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
"Segala puji bagi Allah, Rabb (Tuhan/Pencipta) semesta alam".
Al-Fatihah, 1:1.

Ayat seperti ini diulang-ulang dan terdapat ditujuh surah di dalam al-Quran, iaitu dalam surah: Al-Fatihah, 1. Al-An'am, 45. Yunus, 10. As-Safat, 182. Az-Zumar, 75 dan Ghafir (Al-Mukmin), 65.

Dan seterusnya firman Allah:

قُلْ مَنْ رَّبُّ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ قُلِ اللهُ.
"Katakanlah!: Siapakah Rabb (Tuhan pencipta) langit dan bumi? Katakanlah!: Allah".
Ar-Ra'd, 13:16.

قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِّنَ السَّمَآءِ وَاْلاَرْضِ اَمَّنْ يَمْلِكُ السَّمْعَ وَاْلاَبْصَارَ وَمَنْ يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الحَيِّ وَمَنْ يُدَبِّرُ اْلاَمْرَ فَسَيَقُوْلُوْنَ اللهُ فَقُلْ اَفَلاَ تَتَّقُوْنَ.
"Katakanlah! Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan katakan Allah! Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya".
Yunus, 10:31
اَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَاْلاَمْرُ
"Ingatlah! Mencipta dan memerintah hanyalah hak Allah semata".
Al-A'raf, 7:54.

اِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُوْ الْقُوَّةِ الْمَتِيْنُ

"Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai kekuatan lagi Sangat Kukuh".
Az-Zariyat, 51:58.

وَاِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِيْنِ

"Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan (penyakit) aku".
Asy-Syura, 26:80.

Al-Quran menjelaskan juga bahawa hanya Dialah Tuhan Pencipta tujuh petala langit dan bumi. Penguasa dunia dan akhirat. Dialah Yang mentadbir dan mengatur segala-galanya tanpa ada sekutu denganNya sama ada di dunia atau di akhirat. Allah adalah sebenar-benar Rabb yang tiada sekutu dan tiada penolong bagiNya dalam kudrah dan iradahNya. Hanya Dia sahaja yang benar-benar Rabb yang Maha berkuasa dan Penguasa atas segala apa sahaja ciptaanNya, memiliki dan memerintah mengikut kehendakNya. FirmanNya:

اِنَّ رَبَّكُمُ اللهُ الَّذِيْ خَلَقَ السَّـمَوَاتِ وَاْلاَرْضَ فِى سِـتَّةِ اَيَّامٍ ثَمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِى الَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيْثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُوْمَ مُسَخِّرَاتٍ بِاَمْرِهِ اَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَاْلاَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ.

"Sesungguhnya Rabb kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas 'ArasyNya. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakanNya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada pemerintahNya. Ingatlah! Menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam".
Al-A'raf, 7:54.

اَلَّذِيْ لَهُ مُلْكُ السَّـمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيْكٌ فِى الْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيْرًا.

"Yang kepunyaanNyalah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak dan tidak ada sekutu bagiNya dalam kekuasaan(Nya), dan Dia menetapkan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya".
Al-Furqan, 25:2.
Tiada kuasa atau perintah yang mutlak di langit, di bumi, di antara keduanya dan di setiap alam sama ada alam dunia atau akhirat selain kuasa dan perintah yang ada pada Allah. Hanya Dia Yang Maha Pencipta di atas segala-galanya dan setiap bani Adam yang mengimani tauhid akan menafikan adanya sekutu dan pencipta yang sebenarnya kecuali Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Oleh sebab itu hanya Allah sahaja satu-satunya Tuhan yang paling berhak mendapat segala pujian kerana hanya Dialah yang benar-benar Pencipta, Pemberi rezeki, Pengatur dan Penguasa segala ciptaanNya. FirmanNya:

اِنَّ اِلَهَكُمْ لَوَاحِـدٌ رَبُّ السَّـمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَرَبُّ الْمَشْرِقِ.

"Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar Esa. Rabb (Yang Mencipta) langit dan apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan masyrik (tempat terbit matahari)".
As-Safat, 37:4-5

اَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَاْلاَمْرُ تَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَالِمِيْنَ.

"Ingatlah! Menciptakan dan memerintah (pemerintahan yang mutlak) hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan (Rabb) semesta alam".
Al-'Araf, 7:54.

يُوْلِجُ الَّيْلَ فِى النَّهَارِ وَيُوْلِجُ النَّهَارَ فِى الَّيْلِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِى ِلاَجَلٍ مُّسَـمَّى ذَلِكُمُ اللهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ وَالَّذِيْنَ تَدْعُوْنَ مَنْ دُوْنِهِ مَا يَمْلِكُوْنَ مِنْ قِطْمِيْرٍ.

"Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Yang (berbuat) demikian itu hanyalah Allah Tuhanmu (Rabbmu), kepunyaanNyalah kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun setipis kulit ari".
Faathir, 35:13.

Semua dalil-dalil di atas membuktikan hanya Allah Subhanahu wa-Ta'ala sahaja sebenar-benar Rabb (Pencipta dan Khaliq yang sebenar). Allah adalah Pencipta dan Pembuat segala-galanya sehinggalah perbuatan segala makhluk. Akidah seseorang dianggap batal jika pada dirinya masih ada suatu keyakinan bahawa selain Allah ada makhluk yang bebas melakukan perbuatannya, sama ada mengatur, mengadakan atau meniadakan alam, menghidupkan atau mematikan, mendatangkan kebaikan atau menolak kejahatan dan setiap perkara yang berhubung dengan rububiyah.

Dengan ini jelaslah bahawa tidak seorangpun yang (عَاقِلٌ) "Berakal" dapat mengingkari kerububiyahan Allah Subhanahu wa-Ta'ala kecuali "Penyakit hati yang berupa kekafiran, kefasikan, kesombongan, kezaliman dan terutamanya kejahilan yang terdapat di hati seseorang itu".

Walaupun fitrah (naluri) manusia meyakini adanya Allah sebagai Pencipta atau Rabb yang sebenar, namun jika terdapat sifat-sifat buruk dan keji seperti kejahilan yang masih tersemat di hatinya, maka ini akan tetap mendorongnya terus menentang dan melakukan kesyirikan terhadap Allah walaupun ia mempercayai akan kesempurnaan dan kerububiyahan Allah Subhanahu wa-Ta'ala, sebagaimana yang berlaku ke atas orang-orang kafir jahiliah dari dahulu hingga sekarang. Contohnya, Fir'aun yang terkenal mempunyai kesemua sifat-sifat keji ini, maka dengan ketakburan dan kesombongannya telah mengingkari tauhid rububiyah atau kerububiyahan Allah dengan cara terang-terangan menentang Allah dan rasulNya sehingga berani menegaskan:

فَقَالَ اَنَا رَبُّكُمُ اْلاَعْلَى.
"Maka berkata (Fir'aun): Akulah tuhanmu yang paling tinggi".
An-Nazi'at 79:24.

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا اَيُّهَا الْمَلاُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِّنْ اِلَهٍ غَيْرِيْ.

"Dan berkata Fir'aun: Hai pembesar kaumku! Aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku".
Al-Qasas, 28:38.

وَجَحَدُوْا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَآ اَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِيْنَ.

"Dan mereka mengingkari kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini kebenarannya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang- orang yang berbuat kebinasaan".
An-Naml, 27:14.

Ayat di atas menjelaskan bahawa oleh kerana "Kezaliman dan kesombongan" yang tersemat di hati mereka "Padahal hati mereka meyakinkan kebenaran", maka lantaran sifat-sifat keji ini, mereka sanggup mengingkari kerububiyahan dan ketuhanan Allah Subhanahu wa-Ta'ala.

Dengan ini amat jelas bahawa setiap insan yang mengimani Kitab Allah, tetap meyakini bahawa hakikat fitrah (naluri) setiap manusia tidak dapat menafikan kerububiyahan Allah dan sentiasa mengakui serta percaya akan adanya Pencipta yang mencipta sekalian alam serta segala penghuninya. Maka pencipta tersebut dinamakan dalam Bahasa Arab sebagai Rabb (Tuhan Pencipta) dan kalimah rububiyah pula dinasabkan kepada kalimah (الرب).

Sekalipun akidah ketuhanan dan cara penyembahan kebanyakan manusia masih mempersekutukan Allah, iaitu syirik di segi uluhiyah, namun yang masih kekal di hati mereka naluri yang mengiktiraf adanya pencipta alam semesta yang disebut oleh al-Quran dengan sebutan Rabb. Walaupun demikian, setakat meyakini wujudnya Rabb tetapi menolak uluhiyahnya Allah Subhanahu wa-Ta'ala (tauhid uluhiyah), maka tetap dianggap sebagai seorang yang kufur dan masih dalam kesyirikan.

Kenyataan ini telah dikhabarkan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman sebagaimana firmanNya:

قُلْ لِمَنِ اْلاَرْضُ وَمَنْ فِيْهَا اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ . سَـيَـقُوْلُوْنَ ِللهِ قُلْ اَفَلاَ تَذَكَّرُرْنَ . قُلْ مَنْ رَّبُّ السَّـمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ . سَيَقُوْلُوْنَ للهِ قُلْ اَفَلاَ تَتَّقُوْنَ .قُلْ مَنْ بِيَدِهِ مَلَكُوْتُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ يُجِيْرُ وَلاَ يُجَارُ عَلَيْهِ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ . سَيَقُوْلُوْنَ للهِ قُلْ فَاَنَّى تُسْحَرُوْنَ .

"Katakanlah! Kepunyaan siapakah bumi ini dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? <84> Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah! Maka apakah kamu tidak ingat? <85> Katakanlah! Siapakah Yang Memiliki langit yang tujuh dan Yang Memiliki 'Arasy yang besar? <86> Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah! Maka apakah kamu tidak bertakwa? <87> Katakanlah! Siapakah yang di tanganNya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab) Nya jika kamu mengetahui? <88> Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah! (Kalau demikian) maka dari jalan manakah kamu ditipu? <89>).
Al-Mukminun, 23:84-89.

وَلَئِنْ سَاَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضَ لَيَقُوْلُنَّ خَلَقَهُنَّ الْعِزِيْزُ الْعَلِيْمُ.
"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab: Sesungguhnya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui".
Az-Zukhruf, 43:9.

وَلَئِنْ سَاَلْتَهُمْ مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُوْلُنَّ اللهُ فَاَنَّى يُؤْفَقُوْنَ.
"Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka: Siapakah yang mencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah, bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)?".
Az-Zukhruf, 43:87.

Pencipta dan penguasa mutlak, pemerintahan hakiki serta keagungan sebenar yang meliputi segala bidang dan setiap yang wujud, sama ada pada alam semesta (كَوْنِيَّةٌ) atau pada agama yang berupa syariat (شَرْعِيَّةٌ) adalah dikuasai dan dimiliki hanya oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Dialah Rabb (Tuhan Maha Pencipta) di atas segala apa yang ada serta Maha Berkuasa di atas segala ciptaanNya. Oleh sebab itu tidak akan sempurna akidah seseorang jika tidak dibuktikan dengan pengEsaannya terhadap Allah Subhanahu wa-Ta'ala dalam segala bentuk tauhid (akidah) atau ibadah (ketaatan). Sebagaimana firmanNya:

اِفْرَادُ اللهِ بِالْعِبَادَةِ.
MengEsakan Allah dalam ibadah (ketaatan)".
Maka sesiapa yang mempersekutukan (melakukan kesyirikan terhadap) Allah dengan sesuatu (makhluk) dalam akidah tauhidnya, sedangkan dia mengetahui bahawa selain dari Allah semuanya adalah makhlukNya, semuanya di bawah kekuasaanNya dan tidak mempunyai kuasa mutlak, maka ia telah melakukan kezaliman yang amat besar yang disebut syirik kerana ia telah mengingkari kerububiyahan Allah sebagai Rabb (Pencipta) di atas segala yang wujud. Pelaku syirik telah menzalimi dirinya sendiri, tidak terampun dosanya dan akan dikekalkan di neraka jika ia tidak bertaubat sebelum ia mati. Sebagaimana firman Allah:

اِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيْمٌ.
"Sesungguhnya mempersekutukan Allah (syirik terhadap Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".
Luqman, 31:13.

اِنَّ اللهَ لاَ يَغْفِرُ اَنْ يُشْـرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُوْنَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَآءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللهِ فَقَدِ افْتَرَى اِثْمًا عَظِيْمًا.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa sesiapa yang melakukan kesyirikan terhadapNya, dan akan mengampunkan selain dari dosa kesyirikan bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang melakukan kesyirikan terhadap Allah, maka dia telah melakukan dosa yang amat besar".
An-Nisa', 4:84.

Seseorang yang cuba mengingkari tauhid rububiyah atau kerububiyahan Allah Subhanahu wa-Ta'ala sebenarnya telah menentang fitrah atau nalurinya sendiri. Inilah antara yang dimaksudkan dengan ungkapan: "Mereka itu menzalimi diri mereka sendiri" kerana pada hakikatnya fitrah mereka tetap meyakini bahawa Allah adalah Rabb atau Pencipta segala-galanya, tetapi mereka cuba menafikan kerububiyahan Allah lantaran menuruti keinginan hawa nafsunya.

Seseorang yang mengingkari iktikad tauhid rububiyah samalah seperti dia membatalkan akidah dan keimanannya terhadap semua cabang tauhid, sama ada tauhid uluhiyah, tauhid asma (nama-nama Allah), as-sifat (sifat-sifat Allah) dan az-zat (zat Allah). Inilah antara perbuatan syirik yang berlaku di dalam masyarakat manusia sejak dahulu sehinggalah sekarang.

Tiga jenis tauhid ini: Tauhid rububiyah (توحيد الربوبية) , tauhid uluhiyah(نوحيد الالوهية) dan tauhid asma wa-as-sifat serta az-zat(توحيد الاسماء والصفات والذات) adalah tauhid yang telah disepakati oleh semua para ulama Salaf as-Soleh. Pembahagian ini bukanlah pembahagian yang bid'ah sebagaimana yang didakwa oleh orang-orang yang mubtadi' dan yang cuba mengingkari pembahagian tauhid seperti ini. Pembahagian ini tidak dapat diingkari kerana terdapat ayat-ayat yang terkumpul padanya pembahagian tauhid ini, iaitu kepada tiga bahagian (tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma' wa-Sifat). Antaranya ialah firman Allah:

رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا.
"Tuhan (Rabb yang mencipta dan menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan teguh hatilah dalam beribadat kepadaNya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama (sifat dan zatnya) dengan Dia (yang patut disembah)".
Maryam, 19:65.

Di ayat yang mulia ini dijelaskan bahawa Allah: "(Rabb) Pencipta dan menguasai segala-galanya sama ada yang terdapat di langit atau di bumi dan di antara keduanya", maka inilah yang diistilahkan sebagai tauhid rububiyah. Kemudian diperintahkan kepada sekalian manusia agar: "Sembahlah Dia dan teguh hatilah dalam beribadah kepadaNya", maka ungkapan inilah yang dimaksudkan dalam istilah tauhid uluhiyah yang sebenar. Dan seterusnya Allah bertanya di ayat ini: "Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan dia?" iaitu yang serupa sifat dan zatNya, maka ini adalah penjelasan tentang tauhid asma wa-sifat.

Ketiga-tiga jenis tauhid ini dengan jelas terdapat dalam kandungan ayat di atas, yang mana ia menjelaskan bahawa hanya Allah Tuhan yang mencipta segala yang ada, Tuhan yang wajib disembah. Dan Tuhan yang sifat, nama dan zatNya yang sempurna yang tidak ada makhluk yang sekufu, setara dan semisal denganNya. Dan firmanNya lagi:

سَبَّحَ ِللهِ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ . لَهُ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ يُحْيِ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَىكُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.

"Semua yang berada di langit dan yang di bumi bertasbih kepada Allah (menyembah dan menyatakan kebesaranNya). Dan Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. KepunyaanNya kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan dan dia Maha Kuasa atas segala-galanya".
Al-Hadid, 57:1-2.

Ayat-ayat yang menjelaskan secara sempurna tentang pembahagian tauhid kepada tauhid rububiyah, uluhiyah dan asma wa-sifat wa az-zat terdapat di permulaan surah Taha, Ali Imran, Al-Hasyr, As-Sajadah, Al-Ikhlas dan selainnya. Dengan ini adalah jelas bahawa kita wajib mengimani tauhid rububiyah, uluhiyah dan asma wa-sifat.
Read More 0 ulasan | Dicatat oleh sunnah.blog | edit post

0 ulasan



Catat Ulasan

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

Labels

  • Bahasa jawa (6)
  • Mingguan (1)
  • Panduan (1)
  • Tauhid (8)

Jumlah Paparan Halaman

Assunnah Blog

  • Info
      Muqarrabin Management System.
  • Blog Archive

    • ► 2012 (2)
      • ► Februari (1)
      • ► Januari (1)
    • ► 2011 (1)
      • ► Oktober (1)
    • ► 2010 (2)
      • ► Oktober (2)
    • ▼ 2009 (20)
      • ▼ Disember (15)
        • Tauhid Asma dan sifat
        • Tauhid Uluhiyah
        • Tauhid Rububiyah
        • Perkara yang merosakkan Iman
        • Apa itu Tauhid
        • Apa itu ibadat
        • Iman yg sempurna
        • Siapa salaf soleh
        • Siapa wahabi dan akidahnya
        • Salah faham tentang wahabi
        • Pencetus pertama istilah wahabi
        • PANDANGAN RASMI JAKIM TENTANG ISU WAHHABIYYAH
        • Apa itu Ahil Sunnah dan Jamaah
        • Apa itu islam
        • Sangkaan buruk
      • ► Mei (5)

    Blog Archive

    Langgan

    Catatan
    Atom
    Catatan
    Ulasan
    Atom
    Ulasan

    Pengikut

    Mengenai Saya

    Foto saya
    sunnah.blog
    Mohd Sani bin Abdullah bin Osman bin Abdullah bin Ahmad
    Lihat profil lengkap saya

    AUDIO

    http://audio.islamweb.net/audio/index.php
  • Search






    • Home
    • Posts RSS
    • Comments RSS
    • Edit

    © Copyright Assunnah. All rights reserved.
    Designed by FTL Wordpress Themes | Bloggerized by FalconHive.com
    brought to you by Smashing Magazine

    Back to Top